RABU, 5 MEI 2021
LIMBANG: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Limbang dan MAKSAK Wanita Bahagian Limbang telah bekerjasama dalam menjayakan agihan bubur pedas ini.
Timbalan Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Limbang Hamidah Halpi berkata, bubur pedas ini diagihkan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan di Hospital Limbang dan juga petugas barisan hadapan serta kakitangan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Hari ini MAKSAK Bahagian Limbang dan MAKSAK Wanita Bahagian Limbang menyediakan 55 pek untuk pesakit-pesakit yang berada di wad Hospital Limbang.
“Program ini merupakan program tahunan oleh MAKSAK Bahagian Limbang sebagai perhatian dan kasih sayang kita kepada penduduk Bahagian Limbang yang kurang bernasib baik pada ketika menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Bubur Pedas anjuran MAKSAK Bahagian Limbang di perkarangan Bangunan PPWS Daerah Limbang pada Isnin.
Sebanyak 700 kontena bubur pedas yang dimasak telah diagihkan kepada 35 jabatan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, petugas barisan hadapan dan komuniti di sekitar Daerah Limbang.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata sememangnya MAKSAK Bahagian Limbang mempunyai banyak program dan perlu berhati-hati untuk melaksanakannya dengan perlu patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Sebenarnya MAKSAK Bahagian Limbang mempunyai beberapa program.
“Bagaimanapun, akibat wabak pandemik COVID-19 memang kita cukup berhati-hati untuk melaksanakan program.
“Segala-galanya perlu kepada pematuhan SOP bagi memastikan program dapat berjalan dalam masa yang sama kita tetap dapat menggerakan aktiviti MAKSAK mengikut norma-norma baharu,” ujarnya.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang selaku Pengerusi MAKSAK Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Jurutera Bahagian Limbang Nur Ismail Razali dan Ketua Imigresen Bahagian Limbang Kalthom Ahmad. -EDISI UKAS