MDDM Proaktif Pertingkat Kesedaran Pematuhan SOP PKPB Dalam Kalangan Masyarakat

RABU, 5 MEI 2021

MUKAH: Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) terus giat mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setakat semalam, MDDM telah mengeluarkan sebanyak 24 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP PKPB sejak operasi bermula pada 26 April 2021.

Ini termasuk empat kompaun baharu atas kesalahan pelanggaran SOP yang direkodkan semasa operasi dilaksanakan di Market Basah dan Tamu, Mukah pada Selasa.

Antara pelanggaran SOP yang kerap dikesan di Mukah adalah tidak memakai topeng pelitup muka di kalangan pekerja di dalam kedai dan orang awam di kawasan tumpuan ramai, pengusaha premis tidak mengemaskini buku daftar masuk untuk pelanggan, tiada rekod tarikh pada helaian rekod dan tidak menyediakan buku daftar masuk walaupun ada QRCode MySejahtera.

Kesalahan lain seperti pelanggan masuk premis tanpa membuat imbasan QRCODE MySejahtera atau mengisi butiran wajib dalam buku daftar masuk premis dan tidak ada kawalan penjarakan fizikal oleh pengurus premis perniagaan yang menjadi tumpuan ramai seperti pengehadan jumlah maksimum pelanggan yang masuk ke dalam premis dalam satu satu masa.

Justeru, MDDM akan terus bertindak proaktif dalam mengingatkan orang awam untuk terus mematuhi SOP semasa yang telah digariskan terutamanya di kawasan tumpuan awam termasuklah menggunakan pembesar suara dan kempen-kempen melalui laman web dan media sosial.

MDDM turut memohon kerjasama semua pihak untuk terus mematuhi SOP apabila berada di kawasan tumpuan umum.

Sebarang pelanggaran SOP akan dikenakan kompaun maksimum RM1000 di bawah The Protection of Public Health (Compounding of Offences) Regulation 2020. – EDISI UKAS

Share

add comment