RABU 5 MEI 2021
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menetapkan garis panduan sambutan hari raya aidilfitri dan aktiviti ziarah kubur di seluruh Sarawak.
MIS dalam kenyataannya membenarkan aktiviti ziarah hari raya untuk keluarga terdekat dalam sesuatu masa di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja mulai 1 Syawal hingga 7 Syawal dengan 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
Selain itu, takbir hari raya juga dibenarkan di masjid dan surau ( mulai selepas solat maghrib 1 Syawal, tidak melebihi jam 10 malam serta selepas solat subuh 1 Syawal (pagi) sehingga bermula solat sunat aidilfitri )
Manakala solat sunat aidilfitri dibenarkan di masjid, surau, musolla dan premis yang telah mendapat kebenaran MIS mengikut bilangan jemaah dengan mematuhi penjarakan fizikal (1 meter) berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau.
Bagi aktiviti ziarah kubur pula adalah tidak digalakkan namun sekiranya tidak dapat dielakkan hendaklah mematuhi garis panduan aktiviti ziarah pusara yang dikeluarkan oleh MIS pada 8 April 2021.
Sementara itu, aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan adalah jamuan selepas solat aidilfitri di masjid atau surau (hanya agihan makanan berbungkus dibenarkan), aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat aidilfitri di masjid atau surau.
Untuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua aktiviti-aktiviti sambutan hari raya aidilfitri adalah tidak dibenarkan dan solat sunat aidilfitri hanya dilaksanakan di rumah masing-masing.
Selain itu, kebenaran bagi solat fardhu dan solat Jumaat bagi zon atau kawasan PKPD tertakluk kepada arahan semasa oleh MIS.-EDISI UKAS