Terus Patuhi SOP PKPB, Hadiri Sambutan Hari Raya Dalam Norma Baharu

RABU, 5 MEI 2021

MARUDI: Keadaan penularan wabak pandemik COVID-19 masih belum reda dan masyarakat khususnya di Kampung Seberang Lubok Nibung ini diminta terus berwaspada dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala berkata keadaan penularan wabak COVID-19 sudah tidak terkawal di seluruh dunia dengan mengambil contoh India ketika ini sedang menghadapi kesan yang sangat dahsyat. 

“Kalau kita dengar berita seperti yang berlaku di India, dalam satu hari beribu orang yang mati, sudah tidak terkawal. 

“Hospital pun sudah penuh dan pekerja-pekerja seperti doktor dan jururawat sudah tidak dapat mengendalikan pesakit COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap selepas mengadakan tinjauan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Pembinaan Jeti Baru dan Jalan Simen di Kampung Seberang Lubok Nibung Marudi pada Selasa. 

Dato Gerawat yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu memberitahu beliau kagum dengan  suasana dan keadaan di Kampung Seberang Lubok Nibung yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri.

“Kampung Seberang Lubok Nibung Marudi merupakan satu-satunya kampung yang didiami masyarakat Melayu di dalam  kawasan DUN Mulu. 

“Pada tahun ini masyarakat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam norma baharu dan terus kekal menyambutnya dengan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya. 

Beliau turut menyerahkan bantuan berupa minuman dan kuih muih untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diserahkan kepada Ketua Kaum Madeli yang mewakili penduduk kampung.  

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis, Ketua Kampung Seberang Lubuk Nibung Madeli Mos dan Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan. -EDISI UKAS