Biro Agama PEMADAM Edar 600 Bungkusan Bubur Pedas Di Asajaya Sempena Kempen AntiDadah

KHAMIS, 6 MEI 2021

ASAJAYA: Biro Agama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah mengedarkan sebanyak 600 bungkusan bubur pedas di laluan keluar masuk pekan Asajaya pada Rabu.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, program tersebut merupakan suatu program bersempena dengan Kempen Benci Dadah dan bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadhan.

Ketika ditemui selepas program tersebut, Pengerusi PEMADAM itu berkata, program tersebut dijadikan platform dalam menyampaikan mesej jauhi dadah kepada semua kelompok masyarakat terutamanya golongan belia.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, PEMADAM menyediakan pelbagai program selepas sambutan Aidilfitri nanti bagi menangani masalah sosial berkaitan dadah.

Menurut Setiausaha Eksekutif PEMADAM Negeri Sarawak, Munawar Ismail, antara perancangan selepas sambutan Aidilfitri adalah mengadakan Jelajah PEMADAM yang akan diadakan program Fun Ride, Tilawah Al-Quran dan juga E-Sport.

Katanya, program itu akan dijadikan landasan untuk menyampaikan mesej kepada semua golongan terutama belia berkenaan isu dadah.

Ujar beliau lagi, kebanyakan program-program PEMADAM akan diadakan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS