Cenderahati Aidilfitri Ceriakan Penduduk Di 23 Kampung Dalam DUN Semop

KHAMIS, 6 MEI 2021

BINTANGOR: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan UKAS, Abdullah Saidol membawa keceriaan kepada penduduk di tujuh penempatan dalam kawasan Kampung Melayu Bintangor dengan menyumbang cenderahati sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lagi.

Ketika ditemuramah krew UKAS, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata sebanyak 527 set cenderahati diagihkan kepada penduduk di Kampung Melayu Bintangor yang menjadi lokasi pertama agihan sumbangan.

Katanya, secara keseluruhan agihan akan melibatkan sejumlah 2800 cenderahati di 23 kampung dalam kawasan DUN Semop.

“Program ringkas hari ini ialah untuk menyampai cenderahati sempena sambutan Hari Raya yang melibatkan 23 kampung dalam DUN N42 Semop. Sejumlah 2800 barangan akan diedarkan yang melibatkan set-set cenderahati berupa kuih-muih.

“Untuk hari ini melibatkan Zon Bintangor yang melibatkan tujuh penempatan di Bintangor di mana sebanyak 527 cenderahati diedarkan,” katanya selepas menyempurnakan simbolik penyerahan cenderahati di Dewan Kecil, Surau Darul Ehsan, Kampung Melayu Bintangor pada Khamis.

Menurut Abdullah, program itu diadakan secara ringkas memandangkan Meradong masih dalam zon merah dan pihaknya juga tidak dapat mengadakan lawatan ke beberapa lokasi yang sedang menjalani kuarantin.

Tambah beliau, program tersebut akan dilanjutkan selama dua hari untuk mengedarkan cenderahati di kawasan lain.

Dalam pada itu, Abdullah turut berpesan kepada ketua-ketua masyarakat untuk menyeru orang ramai di bawah seliaan mereka mendaftar program vaksinasi dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Melayu Bintangor, Abg Hashim Abg Solhi ketika dituramah merakamkan setinggi penghargaan terhadap Abdullah atas sumbangan berkenaan.

Katanya, sumbangan tersebut amat bermakna kepada penduduk memandangkan Hari Raya Aidilfitri kali ini masih disambut dalam keadaan bergelut dengan wabak COVID-19. – EDISI UKAS

Share

add comment