Praktikan Program Kepolisian Komuniti Untuk Tingkatkan Keselamatan Penduduk

KHAMIS, 6 MEI 2021

MARUDI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) termasuk Tuai Rumah dan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) diminta bekerjasama dan terus memantau keadaan persekitaran supaya terhindar daripada penularan wabak pandemik COVID-19. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata ini kerana penularan wabak COVID-19 kini telah memasuki kawasan pedalaman khususnya rumah panjang dan kampung-kampung. 

“Jika dahulu ianya hanya menular di kawasan bandar, tetapi kini telah menular ke rumah panjang dan kampung di kawasan pedalaman.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengariskan beberapa garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tepah ditetapkan dan berharap supaya KMKK, Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing memainkan peranan mereka,” katanya semasa berucap dalam meyampaikan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Mulu di Khidmat DUN Mulu pada Selasa. 

Katanya lagi, sesi penerangan seperti yang telah diterapkan melalui Program Kepolisian Komuniti sebelum ini hendaklah dipraktikkan oleh setiap JKKK supaya keselamatan penduduk dapat dijaga.

Pada program ini seramai 17 penerima cek yang terdiri daripada JKKK dan NGO’s di kawasan DUN Mulu menerima cek dengan keseluruhan sebanyak RM400,000. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Ahli Majlis Daerah Marudi Kauselor Yanti Nyanggau dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment