RTM Perlu Berinovasi Dan Kekal Relevan Dalam Menyiarkan Informasi Terkini Dan Tepat Kepada Rakyat

KHAMIS, 6 MEI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menghadiri Program “Drive Thru” Ramadan RTM yang diadakan di perkarangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Kuching pada Rabu. 

Dalam program itu, sebanyak 4,000 pek makanan seperti bubur lambuk, bubur pedas dan lain-lain telah diedarkan kepada orang awam.

Datuk Amar Awang Tengah dalam ucapannya memuji inisiatif yang ditunjukkan RTM Sarawak dalam mengadakan program tersebut.

“Program sebegini bersesuaian dengan semangat bulan Ramadan yang mulia ini dan dapat mengeratkan silaturrahim warga RTM bersama orang ramai,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut menyeru RTM agar terus berinovasi dan kekal relevan di samping terus menyiarkan informasi terkini dan tepat kepada penonton.

Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah turut mengumumkan geran sebanyak RM10,000 kepada Kelab Rekreasi RTM untuk program tahunan mereka.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, dan Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak Abdull Hadi Mohd Yusuff. -EDISI UKAS

Share
0