Sarawak Lakar Sejarah Wujud Perkhidmatan Bank Bergerak Di Luar Bandar

KHAMIS, 6 MEI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak melakar sejarah dengan bermulanya perkhidmatan bank bergerak yang dikhaskan untuk penduduk di kawasan luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebagai permulaan, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM1.6 juta termasuk membantu menyediakan kenderaan untuk pihak bank yang terlibat.

“Di bawah bantuan Sarawakku Sayang, kerajaan negeri memberi sedikit modal permulaan untuk kita mewujudkan perkhidmatan bank bergerak khas untuk di kawasan luar bandar.

“Perkhidmatan ini akan melibatkan kerjasama daripada Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agrobank dan RHB Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Perkhidmatan Bank Bergerak di Perkarangan Bangunan DUN Lama di Kuching pada Khamis.

Ujarnya, perkhidmatan tersebut terbahagi kepada Bank Simpanan Nasional yang akan memberi perkhidmatan di Sebauh dan Sungai Asap manakala Bank Rakyat di Sebauh, Tatau, Sungai Asap dan Belaga.

“AgroBank di Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau dan RHB akan memberi perkhidmatan di Asajaya, Sadong Jaya, Balingian, Oya dan Igan,” jelasnya.

Ketua Menteri menambah, perkhidmatan bank bergerak adalah pendekatan untuk meringankan masalah perkhidmatan perbankan yang dihadapi penduduk di luar bandar.

“Saya rasa ini adalah satu pendekatan bagi kita meringankan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di luar bandar dari sudut perkhidmatan bank.

“Saya juga percaya pihak bank akan mempunyai jadual sendiri untuk menjalankan operasi mereka nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau optimis perhkidmatan bank khususnya AgroBank di kawasan luar bandar bakal memberi kesan yang positif kepada bidang pertanian.

“Kalau kita lihat kawasan-kawasan yang terlibat adalah kawasan pertanian.

“Ini sudah tentu dapat memberi perkhidmatan kepada para petani dan saya rasa ianya sangat penting termasuklah dalam bidang pelancongan.

“Kita sekarang juga sedang membina lebuh raya pesisir dan pembangunan infrastruktur di kawasan ini akan diperbaiki dan dinaiktaraf yang akan memberi kesan positif kepada sektor tersebut,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS

Share

add comment