ADUN Batu Danau Tinjau Projek Pembangunan Di Kampung Pulau Brunei Dan Kampung Karangan Ma

JUMAAT, 7 MEI 2021

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang bersama Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Katerina Gerang telah mengadakan ke tapak projek pembinaan gelanggan futsal di Kampung Pulau Brunei pada Khamis. 

Lawatan itu bertujuan mengenal pasti kawasan dan tapak tanah yang telah dipersetujui penduduk kampung. 

Salah seorang penduduk kampung yang juga pemilik tanah telah membenarkan penggunaan kawasan tanahnya untuk dijadikan sebagai tapak gelanggang futsal dan telah dipersetujui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau Brunei. 

Paulus turut meninjau projek pembinaan rumah stor di bawah peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM25,000 dan kini sedang dalam pembinaan serta Projek Pembinaan Chapel di bawah peruntukkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM100,000 yang turut dalam pembinaan. 

Selepas itu, Paulus telah pergi ke Rumah Sing Badol di Kampung Karangan Ma bagi menyerahkan nota serah balik dan terima balik tapak bagi projek Membaiki Jalan Simen yang berjumlah RM60,000 kepada Pengerusi JKKK Kampung Karangan Ma. 

Majlis ringkas ini disaksikan Pengurus Syarikat E.J Entili Jayan yang merupakan kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut.

Beliau turut berkesempatan meninjau progres pembinaan chapel  yang bernilai RM100,000 di bawah peruntukan UNIFOR yang masih dalam proses pembinaan. 

Hadir sama Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda PBB DUN Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu dan Ketua Masyarakat Iban Pemanca Robert Kunyu ak Anggau. -EDISI UKAS

Share

add comment