ADUN Layar Serah Cek MRP RM65,000 Di Betong

JUMAAT, 7 MEI 2021

BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM65,000 kepada enam buah kampung dan Jawatankuasa Ramah Tamah Aidil Fitri Kampung Melayu Betong, pada Rabu.

Beliau turut menyempurnakan simbolik penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 469 ketua isi rumah (KIR) dari enam buah kampung iaitu Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Masjid, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Pasa Melayu.

Sumbangan bantuan makanan tersebut diselaraskan oleh Pusat Khidmat DUN Layar dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita Layar.

Dalam pada itu, Gerald menasihati ketua-ketua kampung agar tidak menggalakkan penduduk mereka pulang ke kampung semasa Hari Raya yang akan datang.

“Walaupun berat, tetapi kita semua harus berdepan dengan situasi ini.

“Kita harus mengambil ikhtibar daripada lonjakan kes di daerah Betong sejak awal tahun 2021 yang berpunca daripada aktiviti rentas daerah,”katanya.

Selain itu, beliau juga telah menyempurnakan pengagihan 400 pek bubur lambuk yang dilakukan secara pandu lalu di laluan utama dari Pekan Betong menuju ke kawasan kampung Melayu.

Program menyediakan bubur lambuk itu dianjurkan Pusat Perkhidmatan Warga Emas dengan kerjasama Briged Kebajikan Betong. –EDISI UKAS

Share

add comment