Ahli Parlimen Tanjong Manis Sumbang Kek Kepada Seluruh KIR Di Kampung Melayu Bintangor

JUMAAT, 7 MEI 2021

BINTANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab menambah keceriaan kepada penduduk di sembilan penempatan di Kampung Melayu Bintangor dengan menyumbang cenderahati berupa kek buah.

Ketika ditemuramah UKAS selepas majlis ringkas penyerahan cenderahati tersebut di Dewan Dayang Bai Bintangor pada Jumaat, Yusuf berkata sumbangan tersebut akan diagihkan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) di Bintangor bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sumbangan ini merupakan sebagai penganti diri saya kepada semua warga KIR di seluruh Bintangor dan seluruh kawasan Parlimen.

“Disebabkan kita tidak dapat beraya bersama pada tahun ini. Jadi disebabkan kita tidak dapat beraya bersama, maka saya memberi sumbangan kek sebagai pengganti.

“Diharap ia dapat menceriakan, memeriahkan sebagai tambahan kepada majlis sambutan Hari Raya yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

Tambah Yusuf, hampir 6750 cenderahati sama telah disumbangkan di seluruh kawasan Parlimen Tanjong Manis meliputi DUN Semop dan DUN Kuala Rajang yang dilaksanakan dalam tempoh tiga hari.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua penduduk yang akan menyambut Aidilfitri untuk sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, Pemanca Kampung Melayu Bintangor, Rapen Angga bagi mewakili seluruh penduduk kampung berkenaan merakamkan penghargaan ke atas Yusuf di atas sumbangan tersebut. – EDISI UKAS