Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat MOTAC

JUMAAT, 7 MEI 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat.

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri yang telah mengetuai rombongan tersebut memberitahu, tujuan utama pertemuan itu adalah bagi memaklumkan mengenai cadangan untuk mengangkat bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar di bawah Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO.

Tambah beliau, turut dimaklumkan adalah mengenai projek-projek pembangunan yang dibantu oleh kementeriannya untuk negeri ini.

“Tujuan utama kita mengadakan kunjungan hormat ini adalah untuk memaklumkan mengenai cadangan dari MOTAC untuk mengangkat bandar raya Kuching sebagai sebuah bandar di bawah ‘creative city’ dan UNESCO.

“Kedua kita mengemaskini mengenai projek-projek pembangunan yang dibantu oleh MOTAC, permohonan tanah untuk agensi-agensi MOTAC dapat membantu dengan lebih berkesan lagi di negeri ini dan beberapa perkara berkaitan dengan pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Nancy berkata, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan kepadanya mengenai produk-produk pelancongan Sarawak yang boleh menarik minat pelancong dan cara untuk mengembangkan pelancongan negeri ini.

Hadir sama adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.-EDISI UKAS

Share

add comment