Rumah Ketiga Siap Dibina Menerusi Program Rumah Sejahtera Pantai Damai

JUMAAT, 7 MEI 2021

KUCHING : Program Rumah Sejahtera anjuran Pusat Khidmat DUN Pantai Damai jelas membuktikan inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Pada Khamis, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah menyempurnakan simbolik penyerahan kunci rumah baru kepada penerima, Awang Termizi Awang Mahani bagi menggantikan rumah kontena yang didiaminya bersama keluarga sebelum ini.

Menurut Datuk Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, rumah tersebut dibina dengan kos RM52,000, lengkap dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tandas yang disiapkan dalam tempoh sebulan lebih.

“Ini merupakan rumah ketiga yang kita bina dengan sempurna selepas di Kampung Buntal dan Kampung Rampangi Fasa 1”

“Dua lagi rumah masih dalam pembinaan iaitu di Kampung Temedak dan Kampung Rampangi Fasa 1,” jelasnya.

Disamping itu tambah beliau, keperluan lain seperti sambungan pendawaian elektrik serta sambungan bekalan air untuk rumah tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat. -EDISI UKAS