22 Masjid Dan Surau DUN Muara Tuang Terima Peruntukan MRP

SABTU, 8 MEI 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 22 buah masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah dana sebanyak RM59,000 pada Jumaat.

ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM3,000 untuk masjid dan RM2,000 untuk surau.

Sehubungan itu, Dato’ Idris berharap agar peruntukan tersebut dapat digunakan bagi membantu aktiviti keagamaan masjid dan surau di kawasan DUN Muara Tuang seterusnya sedikit sebanyak dapat meringankan beban.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan tersebut di Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Sebanyak 15 masjid dan tujuh surau di kawasan DUN Muara Tuang telah menerima cek dana dan diserahkan kepada setiap wakil yang hadir.

Dalam pada itu, ADUN Muara Tuang itu turut menasihatkan kepada umat Islam di kawasan tersebut yang menunaikan ibadah di masjid dan surau semasa bulan Ramadan untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Wakil-wakil masjid dan surau yang hadir pada majlis tersebut juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Idris Buang atas usaha beliau sebagai wakil rakyat yang sentiasa membantu penduduk di kawasan DUN Muara Tuang.-EDISI UKAS

Share
0