68 Nelayan Berdaftar Di DUN Muara Tuang Terima Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan

SABTU, 8 MEI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 68 nelayan yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) tahun 2020 pada petang Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang berkata, jumlah tersebut meliputi 68 nelayan yang berdaftar dan aktif dalam kawasan DUN Muara Tuang.

Jelas beliau, bantuan yang disalurkan tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM102,000 dan pembayaran akan dilakukan secara kredit ke dalam akaun bank penerima selewat-lewatnya pada 10 Mei 2021.

Berucap pada Majlis Penyerahan Mock Cek Bantuan tersebut di Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan, Dato’ Idris menjelaskan lagi, BMTN merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan bebanan kewangan dan bantuan peralatan nelayan di Sarawak.

Beliau yang mewakili nelayan di kawasan DUN Muara Tuang turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Sarawak kerana memahami keperluan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, John Tedong berkata pihak Jabatan Pertanian Samarahan telah menerima 199 permohonan dan daripada jumlah tersebut 68 nelayan yang aktif telah disahkan sebagai penerima bagi bantuan tersebut dan bakinya 131 nelayan masih didalam proses. -EDISI UKAS

Share
0