SABTU, 8 MEI 2021
SEMOP: Jelajah ramadan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol telah menyantuni penduduk dengan penyerahan Cenderahati Aidilfitri di tujuh kampung sekitar DUN Semop pada Sabtu.
Sumbangan Cenderahati Aidilfitri itu sebagai tanda ingatan daripada beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop kepada penduduk Islam di kawasan DUN Semop yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Program tersebut telah dimulakan sejak tiga hari lepas dengan sebanyak 2,800 set Cenderahati Aidilfitri telah diagihkan melalui kerjasama PBB Ranting dan SABERKAS Unit di setiap kampung.
Dalam pada itu, Abdullah turut menyampaikan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM20,680 kepada sebuah sekolah dan empat belas buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Antara penerima adalah JKKK Kampung Tekajong yang menerima peruntukan sebanyak RM15,000 bagi tujuan membaikpulih Pusat Pentadbiran dan Gerakan JKKK.
Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih beliau kepada guru-guru yang mengajar Muqadam dan Al-Quran di 12 buah kampung sekitar Pulau Bruit, beliau turut menyampaikan sedikit saguhati berjumlah RM19,200 yang melibatkan seramai 111 orang penerima termasuk yang telah bersara.
Dalam lawatan kerja ini juga, beliau mengingatkan orang ramai di DUN Semop sentiasa peka dengan prosedur operasi standard (SOP)untuk mencegah penularan wabak Covid-19.
Selain itu, beliau turut menerima beberapa permohonan baharu daripada pihak sekolah, JKKK dan masjid.-EDISI UKAS