ADUN Beting Maro Gesa Penduduk Beri Kerjasama, Elak Penularan Wabak COVID-19 Lebih Teruk

SABTU, 8 MEI 2021

PUSA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menggesa penduduk Beladin dan Beting Maro untuk memberikan kerjasama dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di kawasan itu.

Menurut beliau, penularan wabak itu di Kampung Beladin kini dalam keadaan yang membimbangkan dengan lebih 40 kes positif telah direkodkan pada Jumaat.

“Keadaan ini akan bertambah teruk dan kritikal jika penduduk tidak memberikan kerjasama.

“Saya dimaklumkan ada kontak rapat kepada kes di surau Kampung Hilir Beladin enggan menjalani ujian calitan COVID-19 dengan alasan tidak mahu dikuarantin.

“Kita merayu kepada mereka (kontak rapat) untuk segera ke Klinik Beladin supaya status kesihatan mereka dapat dipastikan,” katanya melalui kumpulan WhatsApp Beting Maro pada Sabtu.

Razaili turut bimbang keadaan menjadi lebih teruk jika mereka yang telah dijangkit masih bergerak bebas memandangkan ramai yang bekerja di luar kampung khususnya nelayan akan mula kembali untuk menyambut Hari Raya.

“Kita juga merayu penduduk memberi kerjasama jika perintah sekatan pergerakan (‘lockdown’) dilaksanakan selepas ini.

“Hanya pendekatan ini yang boleh memutuskan rantaian wabak COVID-19,” ujarnya sambil mengingatkan penduduk untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).-EDISI UKAS

Share

add comment