Paulus Lawat Projek RTP Dan Projek Sosial Di DUN Batu Danau

SABTU, 8 MEI 2021

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang telah meninjau ke beberapa projek pembangunan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek sosial pada Khamis. 

Dalam lawatan pertamanya ke Kampung Entakong, beliau telah meninjau Projek RTP 2020 Membina Jambatan Menghubungkan 5 Anak Sungai di bawah Parlimen Limbang yang berjumlah RM150,000 dan telah siap pada 2 Mei lepas. 

Lawatan diteruskan di Rumah Jalin Jumarang di Kampung Rantau Kurra bagi meninjau Projek Naik Taraf Jeti di bawah peruntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah siap sepenuhnya dan projek pembinaan gereja di bawah peruntukkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang masih dalam progres.

Selepas itu, Paulus ke Kampung Ukong bagi menyerahkan bantuan kerusi roda kepada Adelynn Radak Panggau, 56 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam pada itu, Mary Sindang yang merupakan isteri kepada ADUN Batu Danau dan mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) juga menghulurkan sumbangan kepada Adelynn. 

Paulus turut meninjau rumah milik Suneak Panggau yang  sebelum ini telah memohon Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) disebabkan keadaan dinding rumahnya yang telah rosak dan memerlukan baik pulih. 

Kesempatan itu, beliau telah meluluskan peruntukan segera berjumlah RM6,000 bagi membiayai kerja-kerja menabur batu di kawasan jalan yang rosak selepas berdialog santai bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ukong. 

Di Kampung Medait, Paulus telah melaksanakan penyerahan Projek Dewan Serbaguna yang menelan kos RM350,000 kepada Pengerusi JKKK Kampung Medait yang telah siap dibina. 

Beliau turut mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Daerah Limbang di Surau Kampung Medait. -EDISI UKAS

Share

add comment