Permohonan Klinik Sementara Di Kampung Bungey, Debak Akan Diaju Kepada Klinik Kesihatan

SABTU, 8 MEI 2021

DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam akan mengajukan permohonan kepada klinik kesihatan untuk menyediakan sebuah klinik sementara di Kampung Bungey di sini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 18 Mei ini.

Menurut Mohammad Razi, klinik sementara itu bertujuan memudahkan penduduk itu mendapatkan khidmat kesihatan tanpa perlu bagi mereka keluar dari kampung tersebut.

Katanya, klinik itu nanti akan menyediakan seorang jururawat dan seorang pembantu kesihatan bagi membantu penduduk di situ mendapatkan rawatan sekiranya ada keluarga yang memerlukan bantuan segera.

Bercakap kepada UKAS semasa meninjau proses agihan sumbangan makanan kepada penduduk Kampung Bungey pada Jumaat, Mohammad Razi berkata bantuan itu bagi meringankan beban penduduk kampung yang telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri.

Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan bahawa bantuan itu diagih mengikut jumlah isi rumah kerana terdapat penduduk yang tinggal di Kampung Bungey memiliki lebih dari satu ketua isi rumah.

Beliau dalam pada itu berharap penduduk di Kampung Debak dan di Kampung Bungey khususnya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri agar wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan serta merta. – EDISI UKAS

Share

add comment