Projek Penyambungan Sistem Perparitan Konkrit Tudan Desaras 6 (B) Akan Dilaksanakan Tahun Ini

SABTU, 8 MEI 2021

MIRI: Projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Tudan Desaras 6 (B) yang berukuran 80 meter panjang x 1.5 lebar membabitkan kos RM100,000 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin telah siap lebih awal dari jadual asal. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin, projek yang mula dilaksanakan pada 17 Mac 2021 dan kini telah pun siap memerlukan penyambungan. 

“Nampaknya, projek ini perlu disambung lagi, jadi untuk tahun ini kita ada peruntukan sebanyak RM150,000 untuk menyambung sistem perparitan konkrit dan ini akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

“Kita juga akan memperbaiki sistem perparitan di sini supaya kita boleh mengatasi banjir di tempat ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Naik Taraf Sistem Perparitan di Tudan Desaras 6 (B) pada Jumaat. 

Dalam pada itu, tambah Datuk Lee lagi, beliau telah dimaklumkan JPS juga akan membuat satu projek tambahan untuk menggali perparitan ini dan disambung terus sampai ke sungai sekaligus menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di kawasan ini.  

Turut hadir Penolong Jurutera Awam JPS Miri Umu Masitah Mahari. -EDISI UKAS