Golongan Asnaf Bersyukur Terima Bantuan Daripada ADUN Sebuyau

AHAD, 9 MEI 2021

SEBUYAU: Golongan asnaf dari Kampung Seruyu, Kampung Sungai Ladong dan Kampung Segali menerima sumbangan sempena sambutan Aidilfitri 2021 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Datuk Julaihi yang juga Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, sumbangan yang diagihkan itu adalah untuk meringankan beban penerima selain dapat menceriakan mereka menjelang sambutan Aidilfitri kelak.

“Sambutan Hari Raya pada tahun ini masih seperti tahun yang lepas, dan berharap agar penduduk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.  

“Acara berkumpul beramai-ramai, ziarah raya hanya perlu disambut dalam kalangan keluarga sahaja.

“Langkah tersebut adalah bagi mengelak daripada penularan wabak COVID-19,” jelasnya semasa menyampaikan sumbangan tersebut pada Ahad.

Turut diserahkan juga 62 sampul duit raya untuk penduduk kampung di Zon Sebangan.

Dalam pada itu juga, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Pusat Kegiatan Wanita Kampung Sungai Ladong untuk membeli peralatan kerusi.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Sarawak Ajis Ahmad, ketua-ketua kampung dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat. -EDISI UKAS