Keluarga Pasrah, Anak-Anak Jalani Kuarantin Wajib Pada Hari Raya Aidilfitri

AHAD, 9 MEI 2021

LIMBANG: Daerah Limbang mula menerima kepulangan pelajar-pelajar dari luar Bahagian Limbang seperti Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia menerusi fasa pertama. 

Rombongan pertama seramai 90 orang pelajar dari pelbagai institusi dari Wilayah Persekutuan Labuan telah tiba di Dermaga Kastam Limbang pada Jumaat. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang telah melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas rombongan tersebut bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19. 

Pelajar-pelajar ini akan dikenakan kuarantin selama 14 hari bergantung kepada keputusan ‘swab test’ dan setiap barangan keperluan mereka disanitasi sebelum menaiki kenderaan untuk dibawa ke pusat kuarantin. 

Kerja-kerja ini telah dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Limbang dengan kekuatan seramai 10 orang anggota telah menjalankan sanitasi di seluruh kawasan Dermaga Kastam dan juga semua kenderaan yang digunakan untuk membawa pelajar-pelajar termasuk Bot Ekspress yang telah digunakan untuk membawa balik pelajar-pelajar dari Wilayah Persekutuan Labuan. 

Ramai ibu bapa yang ditemui berpuas hati dengan pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam menerima kehadiran pelajar-pelajar di Daerah Limbang ini. 

Mereka pasrah apabila tempoh kuarantin itu semasa sambutan Hari Raya tetapi demi memutuskan rangkaian jangkitan virus COVID-19 demi memastikan keselamatan dan kesihatan ibu bapa dan keluarga terjamin di rumah. -EDISI UKAS