Sambut Hari Raya Aidilfitri Bersama Keluarga Sahaja, Terus Patuhi SOP PKPB

AHAD, 9 MEI 2021

LAWAS: Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sekali lagi kita meraikannya dalam suasana pandemik COVID-19. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sambutan kali ini diraikan dalam bersama keluarga sahaja demi keselamatan bersama. 

“Hari Raya Aidilfitri tahun ini kita raikan bersama keluarga sahaja dan tiada rumah terbuka. 

“Kepada mereka yang berada diperantauan, jangan balik ke kampung halaman demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. 

“Mudah-mudahan tahun depan keadaan akan lebih baik daripada sekarang dan kita akan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan Kelab Daerah Lawas 2021 pada Sabtu. 

Pada majlis yang sama, Majlis Islam Sarawak (MIS) turut menyerahkan simbolik peruntukan berjumlah RM13,000 kepada masjid dan RM60,000 kepada surau di Daerah Lawas. 

Mengulas mengenai sumbangan geran ini, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, majlis ini merupakan kesinambungan daripada program yang sama diadakan sebelum ini. 

“Sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), majlis ini tidak dapat diadakan secara serentak dan kita adakan secara berasingan. 

“Gunakalah peruntukan ini dengan bijaksana di dalam tempoh pandemik COVID-19 demi masyarakat bersama,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Hj Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS

Share
0