Teliti Semula Alamat Penerima Vaksin Yang Telah Berdaftar Dalam Mysejahtera: ADUN Meradong

AHAD, 9 MEI 2021

BINTANGOR: Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk meneliti semula alamat penerima yang telah mendaftar melalui MySejahtera untuk menerima vaksin di Daerah Meradong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, ini bagi membolehkan lebih ramai warga Meradong sendiri menerima vaksin apabila program itu dilaksanakan lagi di daerah itu pada masa akan datang.

Katanya, isu timbul selepas mendapati bilangan penerima vaksin dari Daerah Sarikei jauh lebih ramai berbanding penerima dari Meradong semasa Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua untuk warga emas yang bermula pada Sabtu di Dewan Masyarakat Bintangor.

Semasa ditemuramah UKAS selepas meninjau proses vaksinasi, Datuk Ding sempat merakamkan setinggi penghargaan kepada KKM dan semua yang terlibat dalam menjayakan program julung kali dianjurkan di Meradong itu.

Sementara itu, Pegawai Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata lebih 200 warga emas termasuk orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang mempunyai sejarah komorbid menerima dos pertama suntikan vaksin.

Katanya, hampir 300 lagi penerima akan dipanggil melalui temujanji MySejahtera untuk menerima vaksin pada 18-19 Mei ini bertempat di lokasi sama.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang telah mendaftar untuk sentiasa memeriksa jadual temujanji sendiri bagi mengelak keciciran. – EDISI UKAS

Share

add comment