ISNIN, 10 MEI 2021
LIMBANG: Orang ramai khususnya penduduk di Rumah Bujang agar sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mematuhi arahan kerajaan dari masa ke semasa bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya mengawal pandemik COVID-19 supaya ianya dapat dikawal.
“SOP atau garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan bukan perkara main-main dan rakyat mesti mematuhinya, termasuklah SOP perayaan seperti Hari Raya dan Gawai tidak lama lagi.
“Jadi kita tidak perlu menyambutnya secara besar-besaran lebih-lebih lagi penduduk di rumah panjang yang sememangnya berkongsi ruai dan mempunyai hubungan yang akrab antara satu dengan yang lain,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Atap Rumah Kepada Penduduk Rumah Bujang, Rantau Kiran pada Sabtu.
Sebanyak RM141,000 telah diperuntukan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk bantuan atap rumah bagi 47 buah pintu di Rumah Panjang Bujang yang mana setiap pintu diperuntukan RM3,000.
Dalam program yang sama ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada penduduk Rumah Panjang Bujang bagi keperluan RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bujang, RM5,000 untuk Biro Wanita Rumah Bujang, RM30,000 untuk membina benteng tanah susur dan RM5,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Batu.
Mengenai Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, jelas Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang, ianya bertujuan untuk mengekang pandemik COVID-19 di Malaysia.
“Tiada tujuan lain selain daripada untuk tujuan kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang kini terancam oleh pandemik tersebut.
“Dakwaan sesetengah pihak ianya dibuat untuk tujuan politik adalah tidak benar kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri telah meminta pandangan dari pelbagai pihak sebelum Proklamasi Darurat diisytiharkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Hasbi turut menasihatkan masyarakat di luar bandar agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang ditabur oleh pihak tertentu yang kononnya ingin membawa perubahan.
“Selama 22 bulan mereka ini telah diberi peluang untuk memerintah, tetapi gagal menunaikan janji-janji tersebut.
“Jadi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, janganlah mudah terpedaya lagi.
“Kerajaan sedia ada pada masa ini adalah yang terbaik dan sudah terbukti mampu membawa pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jangan Bakar, Pemanca Jun Silah, Penghulu Tan Kayan dan Tuai Rumah Bujang Minggan. -EDISI UKAS