Tubuh Pasukan Bomba Komuniti Di Kawasan Luar Bandar

ISNIN, 10 MEI 2021

KUCHING: Kampung-kampung dan rumah panjang di kawasan luar bandar diseru agar menubuhkan pasukan bomba komuniti di tempat masing-masing.

Ia ditegaskan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah selepas merasmikan program Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 di Ibu Pejabat Jabatan  Bomba Dan Penyelamat di Kuching pada Isnin.

“Seperti yang saya katakan, orang pertama perlu bertindak  kepada kebakaran adalah kita sendiri sebelum menunggu bomba datang.

“Dengan itu kita perlu bekerjasama dengan pihak bomba dalam penubuhan dan latihan” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai khususnya kaum wanita perlu mengetahui cara untuk memadamkan kebakaran dan tidak mudah panik apabila berdepan detik kecemasan.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kebakaran khususnya semasa menyambut perayaan.

“Selalu ingat-mengingati antara satu sama lain dan juga selalu memantau apa yg kita  masak di dapur dan pastikan anak-anak terutama ketika bermain bunga api dan mercun ditemani orang dewasa ” ujarnya

Sementara itu, Pengarah Bomba Sarawak, Khiruddin Drahman, merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan dan bantuan kepada jabatan bomba dalam mencegah kebakaran di negeri ini.-EDISI UKAS

Share

add comment