SELASA, 11 MEI 2021
KOTA SAMARAHAN: Seramai 245 orang golongan asnaf menerima sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan di Pejabat Daerah Samarahan pada Isnin.
Bantuan tersebut merupakan sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.
Dalam pada itu, sebuah majlis ringkas dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Stakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Samarahan bagi penyerahan sumbangan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) bagi mewakili penerima di kawasan DUN Stakan.
Sehubungan itu, Rubiah berharap agar sumbangan bantuan berkenaan dapat meringankan beban dan memberikan keceriaan kepada mereka yang memerlukan terutamanya menjelang hari lebaran yang bakal disambut pada minggu depan. –EDISI UKAS