SELASA, 11 MEI 2021
BINTULU: Persatuan Anaq Vaie Bintulu menyokong langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang lebih ketat dan sedang dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang meningkat di Bintulu.
Presiden Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) Pandi Suhaili berkata, jika masyarakat tidak menyokong dan memberikan kerjasama penuh akan menyebabkan kes penularan COVID-19 terus meningkat dan memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) memberi sokongan yang padu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dalam sama-sama memutuskan rantaian penularan pendemik COVID-19 ini.
“Disebabkan peraturan-peraturan itu, memang ada pihak yang terkesan dan suara-suara yang merungut, suara-suara sumbang dan sebagainya, tetapi percayalah ini terpaksa kita lakukan.
“Kalau masyarakat tidak dapat memberikan kerjasama yang penuh dan jitu dalam mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan, sampai bila kita akan masih berada di dalam pendemik seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengagihkan bubur pedas kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya di hadapan Pasaraya Sebiew pada Isnin.
Sebanyak 400 bungkus bubur pedas telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan di 6 tempat Sekatan Jalan Raya di Bahagian Bintulu termasuk juga orang ramai.
Dalam pada itu, ujar Pandi lagi setiap masyarakat perlu tahu kesan jangkitan COVID-19 ini boleh membawa maut dan semestinya perkara ini tidak mahu berlaku dalam masyarakat Bintulu.
Untuk itu, berilah sokongan dan kerjasama penuh kepada JPBB Bintulu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
Turut sama hadir Naib Presiden PAVB Yussuf Ali Naib, Setiausaha PAVB Sabri Zaidel, Pegawai Penerangan PAVB Ismawi Ishak dan Pengerusi Biro Wanita PAVB Mejenah Lai. -EDISI UKAS