Penduduk Rumah Anthony Kini Nikmati Kemudahan Elektrik 24 Jam, Wifi

SELASA, 11 MEI 2021

JULAU: Penduduk Rumah Anthony Bau di Rantau Tapang, Mujok, Julau kini telah menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam di bawah Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Kemudahan tersebut telah memberi kelegaan kepada penduduk 22 pintu itu sejak Disember 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, pelaksanaan projek membawa perubahan besar kepada landskap pembangunan di penempatan yang terletak jauh di kawasan pedalaman.

“Kini penduduk Rumah Anthony merupakan salah satu daripada rumah panjang di Julau telah menikmati kemudahan SARES.

“Projek ini dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk setiap pintu bilik rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis ringkas Penyerahan Projek Bina Baru Titi Belian Rumah Anthony Bau yang disempurnakan Jabatan Pengairan Dan Saliran Bahagian Sarikei kepada Tuai Rumah Anthony pada Isnin.

Projek yang dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu dibina dengan peruntukan RM50,000 dan disiapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Anthony secara gotong-royong awal dari jadual projek.

Dalam pada itu, beliau turut tersentuh dengan kesanggupan ibu-bapa rumah panjang di pedalaman menyewa bilik di bandar semata-mata untuk membantu anak mereka belajar atas talian.

Ujarnya, penduduk rumah panjang tersebut kini tidak perlu pergi ke bandar dengan adanya perkhidmatan Wifi menggunakan VSAT yang telah dipasang oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) pada pertengahan Mac lalu.

Sementara itu, Rumah Anthony merupakan salah satu daripada 25 buah rumah panjang di Daerah Julau yang menikmati kemudahan SARES.

Manakala, terdapat tujuh belas buah projek SMA di kawasan DUN Meluan dan projek di Rumah Anthony merupakan salah satu daripadanya.-EDISI UKAS

Share

add comment