Sarawak Keluarkan Pindaan Baharu Garis Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021

SELASA, 11 MEI 2021

KUCHING: Masyarakat kini perlu mempraktikkan diri dan menerima pengamalan  norma baharu ketika menyambut perayaan.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, beberapa keputusan sebelum ini telah dipinda setelah mengambil kira faktor-faktor tertentu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Kita membenarkan takbir hari raya di masjid dan surau (mulai selepas solat maghrib 1 Syawal, tidak melebihi jam 10 malam serta selepas solat Subuh 1 Syawal (pagi) sehingga bermula solat sunat Aidilfitri.

“Solat sunat Aidilfitri dibenarkan di masjid dan surau mengikut bilangan jemaah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)  dan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau.

“Manakala kebenaran untuk ziarah hari raya hanya pada satu hari sahaja iaitu 1 Syawal dan ia untuk keluarga terdekat sahaja dengan 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam sidang media garis panduan sambutan hari raya tahun 2021 terbaharu di Kuching pada Selasa. 

Tambahnya, bagi aktiviti ziarah kubur pula tidak digalakkan tempat masing-masing.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Rahman turut menjelaskan mengenai aktiviti yang tidak dibenarkan semasa perayaan.

“Tidak dibenarkan jamuan selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau (agihan makanan berbungkus dibenarkan), aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau,” ujarnya.

Untuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau memberitahu semua aktiviti-aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan dan solat sunat Aidilfitri hanya dilaksanakan di rumah masing-masing.-EDISI UKAS

Share
0