Sarawak Terus Kuatkuasa PKPB ‘Circuit Breaker’ Sehingga 17 Mei 2021

SELASA, 11 MEI 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada Selasa memutuskan untuk terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) “circuit breaker” yang sedia ada dari 7 Mei 2021 hingga 17 Mei 2021 di seluruh negeri ini.

JPBNS dalam satu kenyataan media juga memutuskan untuk memperketatkan syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi restoran, kedai makan, bistro, café, gerai makanan dan minuman dengan tidak dibenarkan beroperasi secara “dine-in”.

Manakala, aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja.

Sehubungan itu, langkah-langkah yang perlu diambil oleh premis-premis yang telah dikenalpasti berisiko tinggi dalam menyebarkan wabak COVID-19 yang dijana melalui sistem ‘Hotspot Identification For Dynamic Engagement’ (HIDE) dan arahan ini berkuatkuasa mulai 12 Mei 2021.

Justeru, garis panduan SOP PKPB terperinci akan diumumkan dalam laman web Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, pindaan garis panduan SOP sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak telah dikemaskini oleh Majlis Islam Sarawak.-EDISI UKAS