Tidak Boleh Makan Dan Minum Di Kedai Makan Mulai 12 Mei 2021

SELASA, 11 MEI 2021

MIRI: Mulai 12 Mei 2021, orang ramai tidak dibenarkan makan dan minum di kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan pada Selasa berkata, ini susulan keputusan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB yang dikemaskini pada 10 Mei 2021. 

“Tidak boleh makan dan minum di semua kedai makan berkuatkuasa 12 Mei 2021 sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Pengendali atau pengusaha kedai makan hanya melakukan penjualan makan dan minum secara hantar, bawa pulang atau pandu lalu.

“Ini merangkumi premis makanan dan minuman seperti restoran, kedai makanan & minuman, bistro, kafe dan pusat makanan dan minuman,” katanya. 

Sementara itu, aktiviti lain seperti pusat urut, Spa dan pusat refleksologi, pusat karaoke termasuk sesi karaoke jenis keluarga, pusat gimnasium dan premis menjalankan yoga, zumba dan senaman fizikal serta aktiviti sukan dan rekreasi di taman awam dan taman permainan seperti Miri City Fan dan juga di sepanjang pantai di Daerah Miri dan Subis tidak dibenarkan. 

Untuk memastikan setiap pengusaha dan pengendali makanan terus mematuhi SOP PKPB, penguatkuasa MBM akan terus dikerahkan ke semua premis. -EDISI UKAS