RABU, 12 MEI 2021
KUCHING: Seramai 3,408 orang telah menjalani ujian calitan di Pusat Sehenti COVID-19 setakat ini.
Daripada jumlah tersebut seramai 2,407 orang telah mendapatkan ujian calitan daripada pasukan bergerak, manakala 84 orang terdiri daripada mereka yang mempunyai gejala.
Selain itu, 1,101 orang lagi melibatkan mereka yang mendapat Perintah kuarantin dan 335 orang telah mendapat arahan mendapatkan ujian dan dua individu yang telah dikenakan kompaun.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah meninjau operasi dan aktiviti harian ke Pusat Sehenti COVID-19 dan Pusat Penilaian COVID-19 yang terletak di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Padungan pada Rabu.
Datuk Amar Douglas turut diiringi oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan, Datu Dr Chai Khin Chung.
Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion diiringi oleh Timbalannya, Datu Ik Pahon Joyik juga melakukan lawatan ke pusat tersebut.
Orang ramai boleh menghubungi talian hotline pusat tersebut di talian 082-597539, 082-597790 untuk pertanyaan atau maklumat mengenai penilaian kesihatan mereka. –EDISI UKAS