ADUN Jemoreng Teruskan Tradisi Rai Hari Raya Bersama Pelbagai Kaum

RABU, 12 MEI 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya meneruskan tradisi menganjurkan Program Sumbangan Kasih Menjelang Syawal N.44 Jemoreng pada sambutan kali ini.

Uniknya, sumbangan tersebut bukan hanya untuk penduduk beragama Islam malah turut melibatkan kaum dan agama lain yang jelas membuktikan perpaduan masyarakat harmoni di kawasan itu.

“Program ini adalah yang ketiga tahun telah diadakan dengan pengagihan 10 tan daging kepada lebih kurang 5,000 ketua isi rumah di DUN Jemoreng.

“Sumbangan ini bukan sahaja melibatkan penduduk beragama Islam sempena Hari Raya Aidilfitri malah turut dikongsi bersama masyarakat lain tanpa mengira agama dan kaum,” katanya ketika ditemui UKAS semasa program tersebut di Masjid Daerah Matu pada Selasa.

Beliau menambah, suasana Hari Raya pada tahun ini amat berbeza dengan pematuhan SOP COVID-19 yang ketat, namun sambutan itu dirai dengan kesyukuran dan kegembiraan.

Sementara itu, Tuai Rumah Raya Menaul mengucapkan terima kepada Dr Juanda yang mengagihkan sumbangan Hari Raya itu kepada masyarakat Iban di kawasan itu.

“Terima kasih kepada Dr Juanda yang juga turut mengagihkan sumbangan ini kepada kami sempena Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Kapitan Lai Ai Sian turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Juanda di atas keprihatinan dan semangat perpaduan sebagai wakil rakyat di kawasan mereka.

Bagi Ketua Kaum Nazim Bahani dan Ketua Kaum Habsah, sumbangan tersebut amat bermakna kepada mereka untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana baharu pada tahun ini.-EDISI UKAS

Share

add comment