Isu Kesesakan Jalan Masuk Ke Bandar Limbang, ADUN Bukit Kota Gesa Kontraktor Segera Perbaiki Jalan Dan Selenggara Saliran Air

RABU, 12 MEI 2021

LIMBANG: Baru-baru ini telah berlaku beberapa buah kenderaan awam terlibat dalam kemalangan apabila tayar kenderaan pecah disebabkan permukaan jalan berlubang dan berlaku kesesakan teruk di kawasan Projek Naik Taraf Jalan Masuk Ke Bandar Limbang.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini disebabkan Projek Jalan Berkembar Masuk Ke Bandar Limbang dan Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 2 yang kini sedang dibina dan pada masa sama telah menimbulkan beberapa masalah kepada orang awam. 

“Projek Jalan Berkembar ini kita bina untuk membesarkan jalan masuk ke bandar Limbang disebabkan berlakunya kesesakan pada waktu puncak dan musim perayaan terutamanya di hadapan Balai Polis yang kita istilahkan sebagai ‘bottleneck’.

“Sebab itulah jalan ini dicadangkan untuk dibesarkan daripada 2 laluan kepada empat laluan sejauh lebih 1 km,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan pemantauan Projek Jalan Berkembar Ke Bandar Limbang pada Isnin. 

Jelasnya lagi, kos untuk projek pembinaan jalan berkembar  itu sepanjang 1.16 km ini pada asalnya RM20 juta dan bukannya RM60 juta seperti yang diwar-warkan dengan pemenang tender tersebut pada nilai kos hanya dalam RM15.8 juta.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, pada masa sama Projek Naik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2 yang melibatkan peruntukan RM25 juta turut dibina dan ini telah menimbulkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan. 

“Pada masa yang sama satu lagi projek yang saya sebutkan tadi Naik Taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2 sejauh 600 meter menelan kos dalam lingkungan RM25 juta iaitu untuk menyambung projek fasa pertama.

“Disebabkan projek ini dilakukan pada masa yang sama dan juga disebabkan kawasan yang terhad maka berlakulah pertindahan dan menyebabkan timbul beberapa masalah,” tambahnya. 

Pada masa sama, faktor lain yang menyumbang kepada kesesakan jalan raya ini ialah taburan hujan yang tidak menentu di Limbang dan banjir kilat.

Justeru, beliau telah meminta kontraktor memperbaiki jalan raya yang rosak, menyelenggara saliran jalan atau sistem perparitan dan mempercepatkan kerja-kerja naik taraf jalan ini supaya ia tidak menganggu aliran trafik kerana laluan ini satu-satunya jalan masuk ke bandar Limbang.

Turut sama hadir Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh. -EDISI UKAS