Unit Cina Sekolah Sarawak Salur Peruntukan Kepada SMK Tong Hua, SMK Kai Chung

RABU, 12 MEI 2021

MERADONG: Unit Cina Sekolah Sarawak meneruskan usaha membantu pembangunan sekolah-sekolah Cina di Meradong dengan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada SMK Tong Hua dan SMK Kai Chung.

Upacara ringkas penyerahan cek kepada kedua sekolah berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing pada Selasa.

Menurut Datuk Ding, Sekolah Menengah Cina amat penting bagi memperkayakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khasnya dalam bidang sains dan teknologi sekali gus sebagai persediaan kerajaan Sarawak untuk menghadapi globalisasi ekonomi antarabangsa di seluruh dunia pada masa hadapan.

Melalui sekolah ini katanya, pelajar daripada pelbagai bangsa boleh memupuk persefahaman, sekali gus meningkatkan pengetahuan mereka.

Jelas beliau, unit khas di bawah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian itu berperanan menyelaras dan menyelia bantuan kewangan daripada kerajaan negeri untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina.

Katanya, peruntukan berkenaan perlu diurus dengan betul agar bantuan kewangan secara konsisten dapat diberikan kepada sekolah-sekolah Cina setiap tahun menerusi badan khas yang menyelaras pembangunan sekolah-sekolah Cina di negeri ini.

Tambah Datuk Ding, peruntukan itu juga membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan pendidikan sebagai bidang penting melalui penyediaan fasiliti dan sistem pendidikan terbaik untuk rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum dan agama. – EDISI UKAS

Share

add comment