Dato Hanifah Sumbang Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Di Kampung Lintang, Balingian

KHAMIS, 13 MEI 2021

BALINGIAN: Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran di Kampung Lintang di sini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib telah menyumbangkan bantuan barang keperluan dan wang tunai bagi meringankan beban mereka.

Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada mereka yang terkesan.

Sementara itu, penduduk kampung tersebut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka.

Sebelum ini, seramai 18 individu sempat menyelamatkan diri apabila kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Lintang, Balingian, pada Rabu.

Pihak Bomba dan Penyelamat Mukah dengan kerjasama Pasukan Bomba Sukarela Balingian berusaha memadamkan kebakaran yang telah menyebabkan tiga rumah musnah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus. -EDISI UKAS

Share

add comment