Kepulangan 2 Syawal, Hadiah Gawai Buat Pelajar Iban, Bidayuh

JUMAAT, 14 MEI 2021

KUALA LUMPUR: Seramai 35 pelajar Matrikulasi Sarawak di Semenanjung yang merupakan kumpulan terakhir pulang ke Bintulu dengan menaiki pesawat MH2742 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.25 pagi pada Jumaat. 

Mereka terdiri daripada 14 pelajar matrikulasi di Selangor, 12 pelajar di Negeri Sembilan, tiga pelajar di Melaka, tiga pelajar di Perak, dua di Johor dan seorang di Pulau Pinang.

Bagi pelajar Iban, Louisa Geranting, 19 tahun, kepulangan pada 2 Syawal memberi peluang untuknya meraikan Hari Gawai bersama keluarga pada 1 dan 2 Jun nanti.

“Jika semuanya berjalan lancar dengan kami mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, termasuk menjalani kuarantin wajib 14 hari, kami akan dapat pulang ke pangkuan keluarga menjelang Gawai Dayak,” katanya ketika ditemui di KLIA pada Jumaat. 

Louisa anak sulung dari 3 beradik dari Sungai Plan, Bintulu itu, menuntut di Kolej Matrikulasi Melaka.

Pengarah Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, Awang Supian Awang Daud bersama pasukan dari Rumah Sarawak turut sama hadir dan menghantar pulang pelajar-pelajar berkenaan serta mengagihkan makanan dan minuman untuk mereka, sebelum mereka menaiki pesawat dari KLIA ke Bintulu.

Dalam pada itu, perasaan terharu dapat pulang menjelang Gawai yang akan diraikan tidak lama lagi turut dikongsikan rakan sekampungnya Concessa Kuek Augustine, 19 tahun, berketurunan Bidayuh.

“Walaupun Gawai akan diraikan dalam keadaan norma baharu namun sekurang-kurangnya kami dapat kembali ke pangkuan keluarga tersayang,” kata anak kedua dari dua beradik itu.

Menurut Concessa yang juga menuntut di Melaka, pada mulanya mereka sangka akan terkandas di Semenanjung sehingga lepas Gawai memandangkan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan. 

Namun pihak Kolej, Kementerian Pendidikan, dengan kerjasama Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, Sarawak Volunteers, JPBN Sarawak dan MAS telah mengurus dan mempermudahkan kepulangan mereka.

Pelajar tunggal Sarawak yang menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Joseph Nyangau, 19 tahun, turut menganggap kepulangan di hari kedua Syawal hari ini sebagai hadiah Gawai.

Berasal dari Rumah Jiram, Bintulu, anak ketiga dari enam beradik berketurunan Iban ini berkata, dapat bersama keluarga di Hari Gawai biarpun diraikan dalam norma baharu, amat besar maknanya  buat beliau dan keluarga.

Sementara, Mohd Ikmal Mohd Safuan,19 tahun, dari Kidurong, Bintulu, yang menuntut di Kolej Matrikulasi Johor turut berterima kasih kepada Rumah Sarawak di Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers yang menyediakan makanan dan menjaga kebajikan pelajar Sarawak di Semenanjung.

“Terima kasih juga Kementerian Pendidikan Malaysia (Matrikulasi), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) dan MAS,” kata anak kedua dari lima beradik itu.

Keseluruhannya seramai 952 Pelajar Matrikulasi Sarawak di Semenanjung dan di Labuan diterbangkan pulang ke Sarawak di antara 11 Mei 2021 sehingga 14 Mei 2021 dengan penerbangan pagi ini melibatkan kumpulan terakhir. -EDISI UKAS

Share

add comment