PNK Limbang Punyai Pejabat Dan Ruang Niaga Baharu Strategik

JUMAAT, 14 MEI 2021

LIMBANG: Keputusan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Limbang merancang dan memindahkan pejabat dan CCDC (Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan) ke bangunan bekas Rumah Rehat Kerajaan suatu keputusan yang tepat dan menguntungkan. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini kerana tempat tersebut mempunyai kedudukan yang strategik yang terletak di kawasan bandar dan senang dihubungi.

“Walau bagaimanapun PNK tetap akan menyewa tempat tersebut tetapi pada kadar yang lebih murah, disebabkan ianya telah lama tidak digunakan berlaku vandalism dan perlu dibaik pulih serta diubah suai. 

“Pemilihan tempat tersebut sebagai pejabat baru PNK dan ruang niaga adalah sangat bertetapan kerana kedudukannya terletak di kawasan bandar dan senang dihubungi. 

“PNK bernasib baik mendapat tempat tersebut hasil daripada perancangan dan usaha kita bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Golongan Asnaf Persatuan Nelayan Kawasan Limbang di Pusat Komuniti Persatuan Melayu Limbang baru-baru ini. 

Terdahulu, Datuk Dr Abdul Rahman menyampaikan sumbangan bakul makanan dan duit raya daripada PNK Limbang kepada 20  penerima golongan asnaf.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, bagi kawasan CCDC kerja-kerja baik pulih akan dibiayai oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Manakala untuk baik pulih ruang pejabat, PNK tidak mempunyai peruntukan dan mereka telah menulis surat kepada saya. 

“Mula-mula saya telah luluskan RM50,000 tetapi setelah dikira segala keperluannya masih tidak mencukupi saya telah tambah RM100,000 jadi keseluruhannya RM150,000 dan ceknya akan saya serahkan pada hari ini.

“Saya cadangkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerja-kerja baik pulih itu boleh dilakukan secara gotong-royong supaya peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan tersebut berbanding jika kita menggunakan kontraktor,” tambahnya. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah PNK Limbang Tambi bin Untong dan Pengurus Besar PNK Limbang Winnie Sendi ak Douglas Dian. -EDISI UKAS