SABTU, 15 MEI 2021
LIMBANG: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan ke Tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong, Limbang baru-baru ini.
Ini merupakan lawatan susulan untuk melihat prestasi peserta TKPM Kubong dan permasalahan yang timbul di kawasan tersebut seperti sistem perparitan dan kesesuaian tanah dengan tanaman.
Kawasan TKPM Kubong mempunyai keluasan seluas 25 hektar yang dikhususkan untuk tanaman nangka madu dan pisang.
Dalam pada itu, salah seorang TKPM Kubong Frederick Lalung Ngilo yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang memberikan peluang kepadanya untuk terlibat dalam program TKPM mengusahakan kebun pisang.
“Dalam program ini saya telah menanam beberapa jenis pisang iaitu Pisang Kapas, Pisang Saba, Pisang Otel, Pisang Tanduk dan selebihnya pisang-pisang lain yang terdapat di Daerah Limbang ini.
“Jadi dalam program ini antara bantuan yang telah saya terima daripada kerajaan adalah seperti jalan simen masuk ke kawasan kebun, baja dan stor untuk tempat menyimpan baja atau peralatan pertanian,” katanya.
Mengulas lanjut, Frederick Lalung memberitahu sehingga kini beliau telah mengusahakan 1,200 pohon pokok pisang dan menerima bantuan Benih nangka madu yang boleh menjana pendapatan tambahan.
“Dalam program ini saya telah mengusahakan 1,200 pohon pokok pisang dan juga menerima bantuan benih nangka madu J33 sebanyak 260 pohon.
“Pada bulan April yang lepas pokok pisang telah mula mengeluarkan hasil dan pada bulan ini dijangka lebih banyak buah pisang yang akan matang dan ia juga telah mendapat permintaan daripada pelanggan,” ujarnya.
Hadir sama Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS