Mangsa Kebakaran Di Tudan Fasa 2 Miri Terima Bantuan

AHAD, 16 MEI 2021

MIRI: Sebuah keluarga yang terdiri ibu tunggal bersama anak, menantu dan cucu terlibat dalam kebakaran di di Lorong Mulia, Tudan Fasa 2 pada Ahad lepas menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin. 

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri menghulurkan bantuan bahan binaan bagi membina semula rumah kediaman mereka.

Sebelum ini, Pusat Khidmat DUN Senadin, JKM Miri dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri telah menghulurkan bantuan makanan kering dan bahan keperluan dapur serta bantuan wang kebajikan kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menyerahkan bantuan berbentuk wang tunai, bahan makanan dan juga bahan keperluan harian kepada mangsa pada Sabtu.

Pada masa kejadian, hanya dua penghuni yang berada di rumah dan empat ahli yang lain berada di tempat lain. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran disyaki disebabkan litar pintas.

Dalam perkembangan sama, Datuk Lee mengucapkan terima kasih kepada Kelab Sukan Permotoran Saga Miri (KSPSM) @ Miri Borneo Division Saga Owner Club (BDSOC) yang turut menyerahkan bantuan kepada keluarga mangsa. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pembantu Pembangunan Masyarakat Nur Amanina Ery dan Mohd Rafizie Barahim serta ahli-ahli dari Kelab Sukan Permotoran Saga Miri. -EDISI UKAS

Share
0