Perkasakan Belia Dengan Ilmu Pengetahuan Dan Kemahiran Untuk Bersaing Dalam Arus Perdana

ISNIN, 17 MEI 2021

BINTULU: Sambutan Hari Belia 2021 dengan tema ‘Dekad Ini, Dekad Kita’, diraikan dalam norma baharu berikutan pandemik COVID-19. 

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip menggesa belia di Sarawak terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Dengan adanya ilmu pengetahuan dan kemahiran akan mampu bersaing dalam menghadapi perubahan arus perdana terutamanya selepas pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. 

“Adalah diharapkan para belia di Sarawak bersedia menggalas tanggungjawab dan terlibat bersama dalam komuniti setempat bagi memupuk sifat kepimpinan serta bergaul rapat dengan masyarakat setempat untuk sama-sama menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk kesejahteraan bersama,” katanya dalam perutusan Hari Belia 2021 Sarawak pada Sabtu. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak memberitahu ini bertujuan mempersiapkan belia dengan tanggungjawab sebagai pemimpin suatu hari nanti. 

“Ini mampu menjadi titik permulaan bagi para belia mempersiapkan diri dengan lebih berdaya saing untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negeri dan negara suatu hari kelak.

“Dalam masa sama menyerlahkan diri sebagai anak muda yang berintegriti, berdisiplin, berdaya saing dan menjadi aset kepada negara,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment