Sarawak Bakal Terima 500,000 Dos Vaksin COVID-19 Dalam Tempoh Seminggu

ISNIN, 17 MEI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mendapatkan sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 yang bakal diterima dalam tempoh seminggu ini.

Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam Dan Perumahan Sarawak, Dr Annuar Rapaee, inisiatif Kerajaan Negeri itu turut mendapat bekalan sebanyak 500,000 dos jenis sinovac lagi yang akan ditambah kemudian.

“Kerajaan negeri telah mendapat 500,000 dos iaitu di bawah inisiatif kerajaan negeri sendiri.

“Kemungkinan besar dalam masa minggu ini atau seminggu lebih, bekalan dos vaksin akan sampai.

“Selain itu, 500,000 dos lagi akan ditambah kemudiannya,” katanya.

Bercakap dalam sesi ‘live’ menerusi laman facebook rasmi beliau pada Sabtu, beliau menambah usaha memberi suntikan vaksin akan turut mendapat kerjasama daripada pihak swasta.

Jelasnya lagi, kadar kebolehjangkitan di Sarawak masih boleh diturunkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan juga pengambilan vaksin.

“Walaupun kadar kebolehjangkitan di Sarawak kurang daripada 1 tetapi kita masih perlu mematuhi SOP dan juga pengambilan vaksin COVID-19.

“Kita tidak boleh bergantung kepada vaksin semata-mata tetapi perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk menurunkan jumlah kes positif,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, seramai 93,801 penduduk di Sibu masih belum mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Namun katanya, jumlah itu mungkin kurang dengan mengambil kira mereka yang telah mendaftar menerusi manual tetapi belum dimasukkan di dalam Mysejahtera.-EDISI UKAS

Share

add comment