Kerajaan Sarawak Teruskan Pembangunan Di Kawasan DUN Tasik Biru

SELASA, 18 MEI 2021

BAU: Kerajaan Sarawak meneruskan usaha membangunkan kawasan DUN Tasik Biru melalui perlaksanaan lima projek naik taraf di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2021.

Menurut Pemangku Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, lima projek tersebut akan dilaksanakan di Kampung Bobak Sejinjang, Kampung Serasot 2, Kampung Jagoi Duyoh, Kampung Bogag dan Kampung Serikin.

“Ia merupakan pelaksanaan fasa satu yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Residen Kuching untuk disahkan pemilihan kontraktor oleh pihak ketua kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Kaedah Pemilihan Dan Penentuan Projek (JPPP) Bagi RTP ADUN N.2 Tasik Biru 2021 di Pejabat Daerah Bau pada Selasa.

Antara projek tersebut adalah naik taraf Jalan Bobak Sajong-Ngori Sodud Kampung Bobak Sajong di bawah agensi pelaksana Majlis Daerah Bau (MDB) serta projek naik taraf jalan pertanian di Jalan Abang-Stupas Kampung Serasot 2 di bawah agensi pelaksana Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Sarawak.

Seterusnya, projek naik taraf jalan dari tanah perkuburan adat asal Kampung Serikin ke tanah perkuburan gereja SIB Kampung Jagoi Duyoh dan naik taraf jalan pertanian ke Paya Dangau Kampung Duyoh serta naik taraf Jalan Silikuog Kampung Bogag yang diselia oleh agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Kuching, Low Suk Fong berkata, senarai lima kontraktor yang dikemukakan kepada para ketua kaum merupakan kontraktor yang telah melepasi penilaian oleh Jawatankuasa Perolehan RTP. -EDISI UKAS