MBM Aktifkan Pasukan Rondaan Pencegahan Jenayah Bantu JPBB Kenal Pasti Aktiviti Sosial

SELASA, 18 MEI 2021

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan mengaktif dan menggerakkan Pasukan Rondaan Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan Jawatankuasa Penduduk. 

Datuk Bandar Miri Adam Yii dalam kenyataan media pada Isnin berkata, ianya bertujuan mengenal pasti sebarang perhimpunan sosial di kawasan perumahan dan melaporkan penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri untuk tindakan mengeluarkan notis kompaun. 

“Peranan Pasukan Rondaan Pencegahan Jenayah ketika ini adalah membantu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mencegah kegiatan jenayah seperti mencuri atau merosakkan harta benda peribadi dan awam dan pecah rumah. 

“Tanggungjawab baru ini pula akan membolehkan pasukan ini bertindak sebagai “mata-mata” bagi JPBB Miri untuk mengenal pasti sebarang pertemuan sosial yang akhirnya dapat mengelakkan kawasan perumahan menjadi kawasan panas wabak COVID-19,” katanya. 

Pada Jumaat lepas, Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin telah memaklumkan JPBB Miri akan mengaktifkan kepolisan masyarakat untuk mengesan sebarang perhimpunan sosial yang dilarang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini selepas satu perhimpunan sosial yang menjadi penyebab utama kepada 5 kes positif COVID-19 yang dikenal pasti di Bandar Miri dan terbaru Kluster Jalan Lilin kerana mengadakan sambutan hari jadi.

Jelas Adam Yii lagi, Pasukan Rondaan Pencegahan Jenayah telah ditubuhkan pada tahun 2017, setahun selepas menjadi Datuk Bandar Miri. 

Pasukan ini merupakan sebuah pasukan yang berdisiplin dan berperanan penting dalam membantu menguatkuasa Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan tugas sukarelawan dan ianya telah terbukti sebelum ini dengan banyak pencapaian dalam pencegahan jenayah khususnya di Pujut, Piasau dan Krokop. -EDISI UKAS