Vaksin AstraZeneca COVID-19 Dibenarkan Digunakan Di Sarawak Secara Sukarela

SELASA, 18 MEI 2021

KUCHING: Sarawak bersetuju melengkapkan program vaksinasinya dengan menggunakan vaksin AstraZeneca COVID-19 secara sukarela.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keputusan berdasarkan penilaian dan kajian berkenaan perkembangan program pemvaksinan secara menyeluruh termasuk penggunaan vaksin AstraZeneca COVID-19 yang dibuat Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak (SCoVAG).

“SCoVAG telah mengemukakan cadangannya untuk menggunakan vaksin AstraZeneca (Vaxzeyria) untuk penduduk Sarawak yang layak secara sukarela kepada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak.

“Selepas penelitian dan pembentangan, CITF Sarawak telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca COVID-19 bagi melengkapkan Pelan Vaksinasi COVID-19 Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, vaksin tersebut akan dibekalkan ke Sarawak melalui CITF Kebangsaan dan akan ditawarkan kepada penduduk yang layak.

“Vaksin ini akan ditawarkan secara sukarela dengan konsep siapa cepat dia dapat dan janji temu,” tambahnya.

Datuk Amar Uggah juga berkata, sebelum ini Kerajaan Pusat mengumumkan vaksin AstraZeneca akan menjadi sebahagian daripada vaksin untuk program vaksinasi Covid-19 di seluruh negara.

Namun, selepas pengumuman itu, sekitar 8,000 penduduk telah membatalkan pendaftaran mereka dalam talian selain terdapat keraguan dan ada yang tidak hadir untuk temu janji vaksinasi mereka.

“Oleh sebab itu, CITF Sarawak membuat keputusan untuk tidak menggunapakai vaksin AstraZeneca.

“Kerajaan Sarawak tidak mahu Program Vaksinasi COVID-19 di Sarawak terganggu akibat keraguan dengan penggunaan vaksin tersebut,” katanya.

Katanya, setelah vaksin tersebut ditawarkan di Selangor dan Kuala Lumpur secara sukarela, sebuah media tempatan melakukan tinjauan atas talian pada 4 Mei 2021 di Sarawak mengenai penerimaan terhadap vaksin AstraZeneca.

“Keputusan mendapati 69.4 peratus daripada 1,037 maklum balas menyokong pemberian pilihan kepada penduduk Sarawak untuk diberi vaksin AstraZeneca Covid-19.

“Hanya 52.9 peratus daripada 1,040 maklum balas yang diterima mahu divaksin dengan vaksin AstraZeneca Covid-19.

“Melihat kepada penilaian ini, CITF Sarawak memutuskan untuk bersetuju vaksin AstraZeneca Covid-19 digunakan,” jelasnya.-EDISI UKAS

Share

add comment