ADUN Meradong Kecewa Peratusan Penduduk Meradong Dipanggil Mendapatkan Vaksin Masih Rendah

RABU, 18 MEI 2021

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing melahirkan kekecewaan selepas peratusan penduduk Meradong mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masih lagi rendah.

Mengulas mengenai isu itu, ujarnya, majoriti penerima yang hadir semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Kedua di Bintangor pada Selasa adalah mereka yang datang dari luar daerah Meradong.

Selain itu katanya, masalah juga timbul selepas 85 orang penerima tidak hadir semasa program dan temu janji terpaksa disusun semula.

Datuk Ding menambah, di Bahagian Sarikei, jumlah pendaftaran untuk penerima di daerah Meradong adalah lebih tinggi iaitu sekitar 91 peratus dengan 9,000 mendaftar melalui Mysejahtera manakala 9,000 lagi secara manual.

Beliau telah mengemukakan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab dan berharap semasa program yang sama pada 22 Mei hingga 25 Mei 2021, jumlah penduduk Meradong yang dipanggil mendapat suntikan vaksin adalah lebih daripada 50 peratus.

Tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkaitan perlu meneliti semula senarai penerima dengan kadar segera untuk mengelakkan isu tidak puas hati dikalangan penduduk amnya di daerah Meradong.-EDISI UKAS