RABU, 19 MEI 2021
TATAU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tatau menerima sumbangan berupa air mineral dan Clorox yang digunakan untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi.
Menurut Eugene John Sikie sumbangan adalah untuk menghargai sumbangan anggota Bomba yang juga banyak memainkan peranan penting berkaitan dengan bencana di Daerah Tatau termasuk penghantaran makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banjir dan melaksanakan sanitasi awam.
Sumbangan disampaikan wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus Eugene kepada wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Tatau PBK II Nelson Phang Siaw Ming di BBP Tatau pada Isnin.
Dalam satu lagi majlis berasingan, telah diadakan penyampaian sumbangan berupa peralatan harian seperti dua unit ‘jug kettle’, papan tanda sekatan jalan raya dan dua unit kanopi daripada Cipta Reforestation Sdn Bhd kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Tatau.
Sumbangan disampaikan oleh Tuai Rumah Gilbert Ngadi selaku pengurus kepada Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tatau.
Sumbangan ini bertujuan untuk menghargai sumbangan dan melancarkan tugas anggota PDRM dalam mengadakan sekatan jalan raya bagi mengekang penularan COVID-19. -EDISI UKAS