Dua NGO Prihatin Tampil Bantu Mangsa Kebakaran Di Balingian

RABU, 19 MEI 2021

MUKAH: Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak dan Saberkas Cawangan Balingian tampil dengan menyumbang bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Lintang Balingian dan Kampung Mateding Kecil Balingian yang berlaku baru-baru ini.

Sumbangan berupa wang tunai itu diserahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah, Abdul Yakub Arbi pada Selasa.

Semasa ditemubual UKAS, Abdul Yakub yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Balingian berharap sumbangan dari dua badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dapat meringkan beban ditanggung mangsa terbabit.

“Hari ini kita dapat memberi sumbangan daripada Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak dan Saberkas Cawangan Balingian yang merangkumi di Kampung Lintang di mana tiga buah ranap dan dua buah rumah sebahagiannya ranap…dan di sini rumah Kampung Mateding Kecil, rumah KK sendiri telah ranap seperti yang dapat kita lihat di belakang kita ini.

“Kita berharap mereka dapat bersabar menghadapi bencana yang tidak dapat kita elakkan,” katanya.

Sementara itu, mangsa kebakaran di Kampung Lintang, Balingian, Mahdar Ahmad Sunik merakamkan penghargaan ke atas Abdul Yakub dan pihak Pejabat Daerah Mukah atas keprihatinan terhadap nasib mereka.

Seorang lagi mangsa di Kampung Mateding Kecil Balingian, Jauyah Jelihi juga berterima kasih di atas sumbangan berkenaan.

Kebakaran berlaku di Kampung Lintang, Balingian pada 12 Mei lepas meranapkan tiga rumah dan merosakkan dua rumah lain.

Manakala kebakaran berlaku di Kampung Mateding Kecil, Mukah pada 17 Mei turut memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah. – EDISI UKAS

Share

add comment